Kisah Di Perkhabaran

Membawa sukma kisah ke angin khabar, membingkis makna kata ke dalam lubuk jiwa!

Arkib bagi Sastera

Undang-Undang & Sastera

 Segak berseri pahlawan terbilang,Bertanjak penuh sungguh bersemi;Tegak berdiri keadilan dijulang,Terpasak teguh kukuh di bumi.  Kunjungan sulung saya ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta pada hari Jumaat lepas sebagai tugasan kursus Bahasa Melayu Perundangan telah memberi suatu pengalaman dan perasaan yang begitu berharga. Sampai sahaja di perkarangan kompleks tersebut, rasa kagum menerjah dek keagaman bangunan kompleks mahkamah ini yang begitu tersergam indah.  Suasana yang sibuk melatari pagi yang kian cerah. Para peguam yang saya lihat berpakaian serba hitam dan putih berada di sana-sini. Ada yang sedang berbincang, ada yang sedang terkejar-kejar menuju ke bilik perbicaraan, pendek kata, macam-macam gelagat yang dapat saya lihat. Melihat semua itu, membuatkan saya berasa begitu tidak sabar, tatkala giliran saya pula berulang-alik ke mahkamah, menjadi seorang peguam. Ya, menjadi seorang peguam!  Aduhai, ramai yang beranggapan jika kita belajar di dalam kursus undang-undang, maka akan menjadi peguamlah akhirnya. Itulah antara rata-rata jawapan atau mungkin maklumbalas tiapkali saya mengatakan saya ialah seorang pelajar undang-undang. Sebetulnya, kerjaya peguam merupakan kerjaya yang mulia, tetapi saya tidak menjadikan itu sebab mengapa saya memilih untuk menjadi pelajar undang-undang. Sehingga sekarang, saya sendiri masih belum ada keinginan yang kuat untuk menjadi seorang peguam. Namun, ada ketika juga saya ada menimbangkan cita-cita tersebut. Contohnya, sewaktu kunjungan ke Mahkamah pada Jumaat lepas.  “Habis tu, kenapa ambil law?” tanya mereka.  Ilham atau inspirasi untuk mengambil jurusan undang-undang telah timbul dan tercetus ketika saya berada di Tingkatan 4. Sewaktu sedang ralit berfikir tentang diri dan masa depan, secara tiba-tiba saya diterjah dengan idea kemungkinan untuk mengambil jurusan undang-undang sebagai kepakaran saya. Sebelum itu, tidak pernah saya terfikir pun untuk mempertimbangkan jurusan ini walaupun secara tidak serius.  Saya telah berfikir dengan berhati-hati dan menimbangkan ilham itu dari pelbagai sudut. Entah bagaimana – saya telah mendapati bidang ini begitu cocok dengan saya. Dengan minat saya yang sukakan aktiviti pembacaan (walaupun begitu liat juga), saya mulai mendapat petunjuk bahawa ini adalah bidang yang patut saya ceburi.  “Undang-undang tidak boleh dipisahkan dengan sastera,” jelas Ustazah Pendidikan Islam saya semasa kelas sewaktu saya menuntut dalam tingkatan 3. Ungkapan tersebut begitu melekat dalam hati saya sehinggakan saya ingat sampai ke hari ini. Itulah juga antara sebab yang kuat kenapa saya begitu bersemangat untuk meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang.  Saya menyedari memang ada benarnya ungkapan tersebut. Sejak mendalami ilmu undang-undang, saya semakin menyedari bahawa terdapat unsur undang-undang di dalam sastera dan juga sebaliknya. Al-Quran merupakan contoh yang paling baik untuk menggambarkan hal ini. Ia adalah sebuah kitab suci yang antara kandungannya adalah undang-undang yang diperturunkan kepada manusia tetapi ia disampaikan dengan cara yang penuh berseni dengan bahasa yang sangat indah. Di situlah letaknya sastera. Undang-undang adalah isi dan pemikiran sesuatu teks itu tetapi bagaimana cara ia disampaikan, tentulah ada sastera, iaitu seni untuk menyampaikan undang-undang tersebut.  Kini, setelah hamper 2 tahun menjadi pelajar undang-undang, saya sebetulnya masih mencari-cari tempat bagi saya dalam dunia yang sungguh mencabar ini. Apakah mampu saya harungi perjuangan ini? Doa daripada kalian amat saya perlukan.  Azree AriffinMahallah Ali, UIAM4:30 ptg, 26/1/2007http://azreeariffin.wordpress.com 

Jom Baca Buku!

gambar017.jpg 

Kunjungan mantan MPR 2001, Kak Hani Salwah ke Taman Ilmu dan Budi pada hari Jumaat lepas telah saya sambut dengan tangan yang terbuka. Sudah lama juga saya tidak ketemu dengan senior MPR yang sangat ceria dan comel ini. Sejak bermulanya semester ini, memang agak sibuk jadual saya, tambah-tambahan pula tidak banyak aktiviti kesusasteraan yang diadakan. Kak Hani juga kini semakin sibuk, maklumlah kini beliau telah menyambung pengajian Pasca-Siswazah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Sarjana Komunikasi Massa.  

Setelah usai urusan membeli buku teks untuk Kak Hani di Kedai Buku Darul-Khutub, kami telah sepakat untuk pergi jalan-jalan-cari-buku di Kompleks Dawama di Hulu Kelang. Sudah lama sebetulnya saya mengidam untuk membeli buku di sana. Maklumlah setelah melihat laman blog rakan-rakan yang lain seperti Kak Hani Salwah, dan Kak Nasriah Abdul Salam, saya merasa begitu cemburu dengan hasil shopping buku yang telah mereka beli sebagai bekalan bacaan sepanjang tahun.  

Sebelum ini, saya bukanlah seorang pembaca buku yang tegar sebetulnya. Saya sangat liat nak baca buku. Saya baca buku pun disebabkan keinginan saya untuk menjadi seorang penulis kreatif menuntut saya untuk membaca dan terus membaca. Bak kata Sasterawan Negara, A. Samad Said, “Jika ingin menjadi seorang penulis, seseorang itu haruslah membaca, membaca, membaca, dan akhirnya barulah menulis.”  

Betapa benar kenyataan itu. Malahan, sebagai seorang muslim, kita juga diseru untuk membaca demi kemajuan ummah dan muslimin sejagat. Bukankah Surah Al-‘Alaq ayat 1-5 telah menyatakan dengan maksudnya: 

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. 

Tiba di Kompleks Dawama, Kak Hani telah membantu saya dengan memberi cadangan buku-buku yang menarik dan bagus untuk dibaca. Kak Hani telah menasihati saya untuk membaca buku-buku karangan para Sasterawan Negara kerana banyak perkara yang saya boleh pelajari melalui nukilan mereka. Setelah berkira-kira, berikut adalah antara pilihan buku yang telah dibeli : 

1.     Naratif Ogoshonto – Anwar Ridhwan

2.     Sajak-Sajak Sejarah Melayu – Muhammad Haji Salleh

3.     Sakura Mengorak Kelopak – Arenawati

4.     Puisi-Puisi Pilihan – Usman Awang

5.     Tulang-Tulang Berserakan – Usman Awang

6.     Bedar Sukma Bisu – Faisal Tehrani

7.     Puisi Warisan – Aripin Said

8.     Kamus Simpulan Bahasa – Abdullah Hussein  

Walaupun peruntukan untuk membeli buku agak lari daripada belanjawan asal, tapi saya merasa puas kerana dapat menambah bahan-bahan bacaan berkualiti ini ke dalam koleksi peribadi saya. Duit bukanlah perhitungannya, tetapi ilmu yang didapati itu adalah lebih utama.

Justeru, sempena Maal Hijrah 1429 ini, marilah kita memasang tekad untuk meneruskan pembacaan kita untuk mendapat ilmu sebanyak mungkin demi kemajuan ummah, warga muslimin sedunia. Sesungguhnya, dengan ilmulah kita dapat mengembalikan semula ketamadunan Islam yang berdiri megah suatu ketika dahulu. Inilah Hijrah kita! 

Azree Ariffin

Mahallah Ali, UIAM

4:30 ptg, 12/1/2007

http://azreeariffin.wordpress.com