Segak berseri pahlawan terbilang,Bertanjak penuh sungguh bersemi;Tegak berdiri keadilan dijulang,Terpasak teguh kukuh di bumi. Kunjungan sulung saya ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta pada hari Jumaat lepas sebagai tugasan kursus Bahasa Melayu Perundangan telah memberi suatu pengalaman dan perasaan yang begitu berharga. Sampai sahaja di perkarangan kompleks tersebut, rasa kagum menerjah dek keagaman bangunan kompleks mahkamah ini yang begitu tersergam indah. Suasana yang sibuk melatari pagi yang kian cerah. Para peguam yang saya lihat berpakaian serba hitam dan putih berada di sana-sini. Ada yang sedang berbincang, ada yang sedang terkejar-kejar menuju ke bilik perbicaraan, pendek kata, macam-macam gelagat yang dapat saya lihat. Melihat semua itu, membuatkan saya berasa begitu tidak sabar, tatkala giliran saya pula berulang-alik ke mahkamah, menjadi seorang peguam. Ya, menjadi seorang peguam! Aduhai, ramai yang beranggapan jika kita belajar di dalam kursus undang-undang, maka akan menjadi peguamlah akhirnya. Itulah antara rata-rata jawapan atau mungkin maklumbalas tiapkali saya mengatakan saya ialah seorang pelajar undang-undang. Sebetulnya, kerjaya peguam merupakan kerjaya yang mulia, tetapi saya tidak menjadikan itu sebab mengapa saya memilih untuk menjadi pelajar undang-undang. Sehingga sekarang, saya sendiri masih belum ada keinginan yang kuat untuk menjadi seorang peguam. Namun, ada ketika juga saya ada menimbangkan cita-cita tersebut. Contohnya, sewaktu kunjungan ke Mahkamah pada Jumaat lepas. “Habis tu, kenapa ambil law?” tanya mereka. Ilham atau inspirasi untuk mengambil jurusan undang-undang telah timbul dan tercetus ketika saya berada di Tingkatan 4. Sewaktu sedang ralit berfikir tentang diri dan masa depan, secara tiba-tiba saya diterjah dengan idea kemungkinan untuk mengambil jurusan undang-undang sebagai kepakaran saya. Sebelum itu, tidak pernah saya terfikir pun untuk mempertimbangkan jurusan ini walaupun secara tidak serius. Saya telah berfikir dengan berhati-hati dan menimbangkan ilham itu dari pelbagai sudut. Entah bagaimana – saya telah mendapati bidang ini begitu cocok dengan saya. Dengan minat saya yang sukakan aktiviti pembacaan (walaupun begitu liat juga), saya mulai mendapat petunjuk bahawa ini adalah bidang yang patut saya ceburi. “Undang-undang tidak boleh dipisahkan dengan sastera,” jelas Ustazah Pendidikan Islam saya semasa kelas sewaktu saya menuntut dalam tingkatan 3. Ungkapan tersebut begitu melekat dalam hati saya sehinggakan saya ingat sampai ke hari ini. Itulah juga antara sebab yang kuat kenapa saya begitu bersemangat untuk meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang. Saya menyedari memang ada benarnya ungkapan tersebut. Sejak mendalami ilmu undang-undang, saya semakin menyedari bahawa terdapat unsur undang-undang di dalam sastera dan juga sebaliknya. Al-Quran merupakan contoh yang paling baik untuk menggambarkan hal ini. Ia adalah sebuah kitab suci yang antara kandungannya adalah undang-undang yang diperturunkan kepada manusia tetapi ia disampaikan dengan cara yang penuh berseni dengan bahasa yang sangat indah. Di situlah letaknya sastera. Undang-undang adalah isi dan pemikiran sesuatu teks itu tetapi bagaimana cara ia disampaikan, tentulah ada sastera, iaitu seni untuk menyampaikan undang-undang tersebut. Kini, setelah hamper 2 tahun menjadi pelajar undang-undang, saya sebetulnya masih mencari-cari tempat bagi saya dalam dunia yang sungguh mencabar ini. Apakah mampu saya harungi perjuangan ini? Doa daripada kalian amat saya perlukan. Azree AriffinMahallah Ali, UIAM4:30 ptg, 26/1/2007http://azreeariffin.wordpress.com
Kisah Di Perkhabaran
Membawa sukma kisah ke angin khabar, membingkis makna kata ke dalam lubuk jiwa!1 Komen »
Komen anda
HTML-Tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <pre> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>
assalamualaikum..
susah x blaja law?