Kunjungan mantan MPR 2001, Kak Hani Salwah ke Taman Ilmu dan Budi pada hari Jumaat lepas telah saya sambut dengan tangan yang terbuka. Sudah lama juga saya tidak ketemu dengan senior MPR yang sangat ceria dan comel ini. Sejak bermulanya semester ini, memang agak sibuk jadual saya, tambah-tambahan pula tidak banyak aktiviti kesusasteraan yang diadakan. Kak Hani juga kini semakin sibuk, maklumlah kini beliau telah menyambung pengajian Pasca-Siswazah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Sarjana Komunikasi Massa.
Setelah usai urusan membeli buku teks untuk Kak Hani di Kedai Buku Darul-Khutub, kami telah sepakat untuk pergi jalan-jalan-cari-buku di Kompleks Dawama di Hulu Kelang. Sudah lama sebetulnya saya mengidam untuk membeli buku di sana. Maklumlah setelah melihat laman blog rakan-rakan yang lain seperti Kak Hani Salwah, dan Kak Nasriah Abdul Salam, saya merasa begitu cemburu dengan hasil shopping buku yang telah mereka beli sebagai bekalan bacaan sepanjang tahun.
Sebelum ini, saya bukanlah seorang pembaca buku yang tegar sebetulnya. Saya sangat liat nak baca buku. Saya baca buku pun disebabkan keinginan saya untuk menjadi seorang penulis kreatif menuntut saya untuk membaca dan terus membaca. Bak kata Sasterawan Negara, A. Samad Said, “Jika ingin menjadi seorang penulis, seseorang itu haruslah membaca, membaca, membaca, dan akhirnya barulah menulis.”
Betapa benar kenyataan itu. Malahan, sebagai seorang muslim, kita juga diseru untuk membaca demi kemajuan ummah dan muslimin sejagat. Bukankah Surah Al-‘Alaq ayat 1-5 telah menyatakan dengan maksudnya:
Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.
Tiba di Kompleks Dawama, Kak Hani telah membantu saya dengan memberi cadangan buku-buku yang menarik dan bagus untuk dibaca. Kak Hani telah menasihati saya untuk membaca buku-buku karangan para Sasterawan Negara kerana banyak perkara yang saya boleh pelajari melalui nukilan mereka. Setelah berkira-kira, berikut adalah antara pilihan buku yang telah dibeli :
1. Naratif Ogoshonto – Anwar Ridhwan
2. Sajak-Sajak Sejarah Melayu – Muhammad Haji Salleh
3. Sakura Mengorak Kelopak – Arenawati
4. Puisi-Puisi Pilihan – Usman Awang
5. Tulang-Tulang Berserakan – Usman Awang
6. Bedar Sukma Bisu – Faisal Tehrani
7. Puisi Warisan – Aripin Said
8. Kamus Simpulan Bahasa – Abdullah Hussein
Walaupun peruntukan untuk membeli buku agak lari daripada belanjawan asal, tapi saya merasa puas kerana dapat menambah bahan-bahan bacaan berkualiti ini ke dalam koleksi peribadi saya. Duit bukanlah perhitungannya, tetapi ilmu yang didapati itu adalah lebih utama.
Justeru, sempena Maal Hijrah 1429 ini, marilah kita memasang tekad untuk meneruskan pembacaan kita untuk mendapat ilmu sebanyak mungkin demi kemajuan ummah, warga muslimin sedunia. Sesungguhnya, dengan ilmulah kita dapat mengembalikan semula ketamadunan Islam yang berdiri megah suatu ketika dahulu. Inilah Hijrah kita!
Azree Ariffin
Mahallah Ali, UIAM
4:30 ptg, 12/1/2007
http://azreeariffin.wordpress.com
