Kisah Di Perkhabaran
Membawa sukma kisah ke angin khabar, membingkis makna kata ke dalam lubuk jiwa!Arkib bagi Januari, 2008
Islamic Performing Arts Concert 2008
When the dawn breaks with the glorious Azan
Calling on the ummah to seize triumph
So commences a legacy, a sagacious journey
Of a magnificent alma mater
The pride of muslims worldwide
The advocate of faith and nation.
“They’ve had their share of mockery,
That is no more than a day dream!”
But words do not stop – that tough journey
The birth of a novel generation
Of muslim thinkers and futurists
The ups and downs are beyond words
A voyage full of blood, sweat, and tears.
Hence, shall end this prologue
Thus, shall begin THE ODYSSEY!
Mengujakan! Begitulah apa yang dapat saya katakan mengenai penglibatan saya di dalam ISLAMIC PERFORMING ARTS CONCERT 2008 (IPAC ’08). Alhamdullillah, segalanya telah berjalan lancar dan semua perancangan telah dizahirkan dengan sempurna. Penglibatan saya di dalam konsert ini sebetulnya bermula dengan sehelai kertas hebahan yang telah ditampal di kolej kediaman saya yang mana mengkehendaki mereka-mereka yang berminat untuk menyertai konsert tersebut untuk menghubungi urusetia program secepat mungkin.
Antara posisi yang ditawarkan adalah sebagai seorang penyajak. Saya pun apa lagi, setelah berfikir dan menimbang-nimbang, akhirnya mengambil keputusan untuk menghubungi Teha, Penolong Pengarah IPAC ’08 dan menyatakan minat saya untuk turut serta. Maklumlah, peluang untuk membuat persembahan dalam sebuah produksi sebegitu bukan selalu boleh dapat. Lebih-lebih lagi pementasan ini diadakan dengan kerjasama Istana Budaya. Tentu banyak pengalaman baru yang boleh ditimba. Tambahan, saya juga ingin merasa bagaimanalah agaknya pengalaman bersajak di Dewan Utama, UIAM – tempat yang bakal menyaksikan majlis konvokasi saya, InsyaAllah.
Penglibatan saya sebagai seorang penyajak telah diletakkan di bawah seliaan Kelab Teater UIAM. Maka, secara tidak langsung saya juga telah menjadi ahli kelab tersebut! Mereka yang kebanyakannya daripada jurusan Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris ini begitu cool dan sporting sungguh. Terhibur saya melihat gelagat mereka. Pada malam pertama latihan, kami telah mengadakan sesi ta’aruf antara ahli kelab teater. Saya tidak dapat melupakan pertama kali mengadakan latihan vokal di mana kami harus berlatih mengeluarkan suara dari perut untuk membolehkan kami dapat bersuara dengan lebih kekuatan dan bertahan dalam tempoh yang lama tanpa ada masalah sakit tekak.
Kami juga telah dipasang-pasangkan untuk latihan lakonan. Saya telah dipasangkan dengan seorang kawan baru saya, bernama Remy. Aduhai, betapa beratnya bagi saya untuk melakukan latihan tersebut kerana saya sememangnya tak pandai berlakon! Tapi, terpaksalah saya tebalkan juga muka ini demi menyahut cabaran yang diberikan iaitu berlakon sebagai pasangan suami isteri! Ya Allah, hanya tuhan sajalah yang tahu betapa seksanya saya. Namun, bila semuanya dah selesai, saya rasa cukup lega kerana dapat melepaskan semua ‘bakat’ lakonan saya. Nasib baik hanya latihan saja. Kalau betul-betul di atas pentas, minta ampun!
Saya telah diberikan tugas untuk mendeklamasikan puisi berjudul The Odyssey sebagai pembukaan kepada Teater Muzikal ini. Menjadi orang yang pertama yang membuat persembahan pada malam tersebut merupakan suatu penghormatan buat saya, terutamanya tetamu kehormatnya adalah Rektor UIAM sendiri, Prof Syed Arabi Idid. Malahan, Dekan Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Prof Datuk Zaleha Kamaruddin turut jua hadir memeriahkan suasana. Dewan Utama yang begitu penuh dengan kehadiran melebihi 2500, pastinya membuatkan jantung saya berdegup-degup untuk memulakan persembahan. Namun, saya gagahkan jua semangat dengan berbekalkan kalimah selawat dan puisi The Odyssey saya baca berulang-ulang kali supaya fasih dan lancar sebutannya.
Alhamdullillah, melangkah saja ke pentas, saya dapat rasakan suatu tenaga yang amat luar biasa. Tampil berbaju melayu merah dan bersampin songket dilipat bunga, irama gamelan yang mengiringi deklamasi saya, juga dengan pencahayaan yang bertumpu kepada saya, tugas yang diberikan akhirnya dapat juga saya selesaikan dengan baik, saya kira.
Persembahan yang lain juga telah diberikan tepukan yang gemuruh oleh para penonton. Penonton begitu terpegun dengan ketangkasan tarian zapin, keunikan gerakan Dikir Acheh, kemantapan lakonan, gemersik irama gamelan, merdu alunan kumpulan nasyid MADANI, klasik bunyi angklung, getaran caklempong, kesepaduan vokal kumpulan Choir, debar tingkah perkusi, dan sudah tentunya semangat deklamasi puisi!
Sesungguhnya, Seni dan Islam itu sesuatu yang tidak bertentangan. Jika kena dengan caranya, seni dapat kita gunakan sebagai salah satu cara yang berkesan untuk menyebarkan dakwah islamiah. Semoga dengan penganjuran konsert-konsert sebegini dapat memberi lebih kesedaran kepada orang ramai mengenai kedudukan Seni Persembahan di dalam Islam.
Kepada seluruh warga IPAC ’08, sekalung budi dan tahniah diucapkan. Dan teristimewa kepada kumpulan teater, terima kasih atas kesempatan dan peluang yang sangat berharga ini!
Azree Ariffin
Bandar Utama, Petaling Jaya
2:30, 22 Januari 2008
Jom Baca Buku!
Kunjungan mantan MPR 2001, Kak Hani Salwah ke Taman Ilmu dan Budi pada hari Jumaat lepas telah saya sambut dengan tangan yang terbuka. Sudah lama juga saya tidak ketemu dengan senior MPR yang sangat ceria dan comel ini. Sejak bermulanya semester ini, memang agak sibuk jadual saya, tambah-tambahan pula tidak banyak aktiviti kesusasteraan yang diadakan. Kak Hani juga kini semakin sibuk, maklumlah kini beliau telah menyambung pengajian Pasca-Siswazah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Sarjana Komunikasi Massa.
Setelah usai urusan membeli buku teks untuk Kak Hani di Kedai Buku Darul-Khutub, kami telah sepakat untuk pergi jalan-jalan-cari-buku di Kompleks Dawama di Hulu Kelang. Sudah lama sebetulnya saya mengidam untuk membeli buku di sana. Maklumlah setelah melihat laman blog rakan-rakan yang lain seperti Kak Hani Salwah, dan Kak Nasriah Abdul Salam, saya merasa begitu cemburu dengan hasil shopping buku yang telah mereka beli sebagai bekalan bacaan sepanjang tahun.
Sebelum ini, saya bukanlah seorang pembaca buku yang tegar sebetulnya. Saya sangat liat nak baca buku. Saya baca buku pun disebabkan keinginan saya untuk menjadi seorang penulis kreatif menuntut saya untuk membaca dan terus membaca. Bak kata Sasterawan Negara, A. Samad Said, “Jika ingin menjadi seorang penulis, seseorang itu haruslah membaca, membaca, membaca, dan akhirnya barulah menulis.”
Betapa benar kenyataan itu. Malahan, sebagai seorang muslim, kita juga diseru untuk membaca demi kemajuan ummah dan muslimin sejagat. Bukankah Surah Al-‘Alaq ayat 1-5 telah menyatakan dengan maksudnya:
Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.
Tiba di Kompleks Dawama, Kak Hani telah membantu saya dengan memberi cadangan buku-buku yang menarik dan bagus untuk dibaca. Kak Hani telah menasihati saya untuk membaca buku-buku karangan para Sasterawan Negara kerana banyak perkara yang saya boleh pelajari melalui nukilan mereka. Setelah berkira-kira, berikut adalah antara pilihan buku yang telah dibeli :
1. Naratif Ogoshonto – Anwar Ridhwan
2. Sajak-Sajak Sejarah Melayu – Muhammad Haji Salleh
3. Sakura Mengorak Kelopak – Arenawati
4. Puisi-Puisi Pilihan – Usman Awang
5. Tulang-Tulang Berserakan – Usman Awang
6. Bedar Sukma Bisu – Faisal Tehrani
7. Puisi Warisan – Aripin Said
8. Kamus Simpulan Bahasa – Abdullah Hussein
Walaupun peruntukan untuk membeli buku agak lari daripada belanjawan asal, tapi saya merasa puas kerana dapat menambah bahan-bahan bacaan berkualiti ini ke dalam koleksi peribadi saya. Duit bukanlah perhitungannya, tetapi ilmu yang didapati itu adalah lebih utama.
Justeru, sempena Maal Hijrah 1429 ini, marilah kita memasang tekad untuk meneruskan pembacaan kita untuk mendapat ilmu sebanyak mungkin demi kemajuan ummah, warga muslimin sedunia. Sesungguhnya, dengan ilmulah kita dapat mengembalikan semula ketamadunan Islam yang berdiri megah suatu ketika dahulu. Inilah Hijrah kita!
Azree Ariffin
Mahallah Ali, UIAM
4:30 ptg, 12/1/2007
http://azreeariffin.wordpress.com
Sebuah Permulaan Baru
Alhamdullillah, tabir tahun 2007 telah pun melabuhkan tirainya, manakala tahun 2008 pula menginjak tiba dengan menjanjikan seribu satu harapan. Harapan dan semangat yang baru untuk terus berjuang mencapai segala cita-cita dan kejayaan dalam kehidupan. Begitulah apa yang berlaku setiap tahun.
Bagi aku, tahun baru ini aku ingin hadapi dengan satu azam yang kental dan kuat untuk terus berusaha untuk menggapai kejayaan sebaik mungkin, dan juga cuba untuk terus memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan diri.
Aku mulakan tahun baru ini dengan perpindahan, bukan sahaja di alam maya, malahan juga di alam nyata. Kiranya, aku ingin sedikit mengubah angin supaya mudah-mudahan hijrah yang aku lakukan ini, dapatlah mempertingkatkan daya produktiviti dan semangat juang dalam diri.
Perpindahan blog ini juga merupakan sebahagian daripadanya. Kenapa aku berpindah? Banyak sebabnya. Namun, apa yang boleh aku katakan, aku mahu suatu permulaan yang baru. Biarlah segala yang lepas itu terus berlalu dan menjadi pengalaman berharga.
Perpindahan aku dari Mahallah Al-Faruq ke Mahallah Ali juga adalah rentetan daripada keinginan aku untuk mencari sebuah perubahan dalam hidup. Berkat doa ibu dan bapaku di Tanah Suci Mekah Al-Mukaramah, alhamdullillah perjuangan ini berjaya juga. Aku bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. yang telah memberi waktu dan kesempatan untuk aku memulakan hidup yang baru.
Azam aku selepas ini, adalah untuk meneruskan penulisan di blog ini sebagai salah satu wadah untuk berkongsi pengalaman sebagai seorang mahasiswa dan juga pendapat dengan seluruh warga alam. Perjuangan, hidup ini adalah sebuah perjuangan. Semoga ini adalah sebuah permulaan baru kepada suatu perjuangan yang diredhai-Nya, InsyaAllah.
